Halaman

"Demi masa, sesungguhnya manusia itu (benar-benar)di dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh. Dan berpesan-pesanlah kamu (wahai manusia) dengan kebenaran, dan berpesan-pesanlah kamu dengan kesabaran".


Al-Asr : 1-3

Aku hanya peguam biasa-biasa, tetapi punya cerita luar biasa.. kerana, kamu mungkin tak bisa rasa, apa yang aku rasa...

Selasa, 20 Januari 2009

Peguam Menulis 6 – Tenancy Agreement


Salam semua,


Dah 3 hari tak update blog, kerana sibuk dengan tugas-tugas harian. Apapun, suka saya untuk berkongsi pengalaman mengendalikan kes tunggakan sewa premis MAIS. Semalam, saya didatangi oleh Mr. X, seorang penyewa premis milik MAIS, yang datang bertemu dengan saya untuk membuat rayuan penangguhan tindakan undang-undang terhadap syarikatnya yang gagal membuat pembayaran sewa kepada pihak MAIS sepanjang tahun 2008.


Saya berbincang seketika dengan pegawai yang menguruskan kes tersebut sebelum bertemu dengan Mr. X. Pelbagai alasan diberi oleh Mr X mengenai kelewatan beliau membuat pembayaran sewa dan tunggakan sewa kepada pihak MAIS dan menyerahkan kepada saya lima keping cek post dated untuk dipertimbangkan oleh saya. Saya menjelaskan kepada beliau mengenai tindakan undang-undang yang berhak diambil oleh pihak MAIS terhadap beliau selaras dengan Perjanjian yang telah ditandatangani oleh beliau sendiri pada tahun 2006. Tanpa prejudis, saya menerima cek-cek tersebut, dan menjelaskan kepada beliau bahawa pihak MAIS tetap akan meneruskan dengan tindakan undang-undang terhadap beliau, sekiranya beliau gagal untuk menjelaskan baki tunggakan sewa yang dituntut. Walaupun beliau nampak tidak berpuas hati dengan keputusan saya, namun itulah keputusan terbaik yang dapat saya putuskan, untuk menjamin kepentingan MAIS, kerana saya berpandangan, sekiranya Mr X dapat menyelesaikan semua tunggakan tersebut sebelum perintah Mahkamah diperolehi, saya akan meminta peguam MAIS menarik balik tindakan undang-undang yang difailkan.


Dari sudut perundangan, di dalam kes perlanggaran apa-apa kontrak termasuk sewaan, ianya ditadbir di bawah Akta Kontrak 1950. Akta ini menjelaskan mengenai perjanjian yang dibuat, tawaran dan penerimaan, dan perlanggaran sesuatu terma dalam perjanjian. Sekiranya terdapat perlanggaran mana-mana terma kontrak, pihak yang satu lagi berhak menamatkan kontrak atau memohon satu pengisytiharan di mahkamah supaya pihak yang melanggar kontrak menunaikan kewajipannya selaras dengan kontrak tersebut. Dalam istilah perundangannya, ini dinamakan perintah pelaksanaan spesifik, (specific performance) iaitu perintah Mahkamah supaya pihak yang melanggar kontrak memenuhi kewajipannya.


Untuk kes perlanggaran perjanjian sewaan, terdapat satu lagi Akta yang terpakai iaitu Akta Distress. Distress adalah tindakan undang-undang yang boleh diambil oleh Tuan Tanah terhadap penyewa yang gagal membuat bayaran sewa atau melanggar lain-lain terma perjanjian sewa. Tuan Tanah akan mendapatkan perintah daripada Mahkamah Sivil untuk memasuki premis sewa dan menyita barang-barang yang terdapat di dalam premis yang disewa untuk dilelong kepada awam. Hasil daripada lelongan tersebut akan digunakan untuk membayar tunggakan sewa kepada Tuan Tanah. Bagaimanapun, bukan semua jenis barangan boleh dirampas oleh Tuan Tanah. Contohnya, barangan seperti pakaian, dokumen penting, makanan yang senang rosak (perishable) tidak boleh diambil. Ini untuk menjaga kepentingan penyewa.


Menurut undang-undang kontrak Islam, pihak yang mengalami kerugian kesan daripada perlanggaran terma perjanjian boleh menuntut gantirugi daripada pihak yang melakukan perlanggaran kontrak. Ini berdasarkan kepada hadis Rasulullah saw yang bermaksud:-

“Orang-orang Islam itu adalah diikat dengan syarat-syarat mereka”

(Al-muslimuna i’nda syurutihim).


Insyaallah, kalau ada soalan berkaitan dengan perjanjian sewaan,atau lain-lain perjanjian, bolehlah saya membantu. Wallahu a’lam.

"Memartabat undang-undang dan keadilan"

Nurhani

Shah Alam

Tiada ulasan: