Halaman

"Demi masa, sesungguhnya manusia itu (benar-benar)di dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh. Dan berpesan-pesanlah kamu (wahai manusia) dengan kebenaran, dan berpesan-pesanlah kamu dengan kesabaran".


Al-Asr : 1-3

Aku hanya peguam biasa-biasa, tetapi punya cerita luar biasa.. kerana, kamu mungkin tak bisa rasa, apa yang aku rasa...

Sabtu, 28 Februari 2009

Peguam Menulis - Kalimah ALLAH

Salam semua,

Kelmarin, seluruh negara dikejutkan dengan arahan daripada Kementerian Dalam Negeri berhubung penggunaan kalimah Allah oleh Akhbar Herald-The Catholic Weekly dalam buku-buku agama terbitan mereka. Mahkamah Tinggi (Bahagian Rayuan dan Kuasa-Kuasa Khas) hari ini diberitahu bahawa penggunaan perkataan ‘Allah’ dalam penerbitan berkaitan agama Kristian bukan lagi satu larangan. Keputusan itu terkandung dalam Perintah Keselamatan Dalam Negeri (Larangan Dalam Penggunaan Perkataan Tertentu dalam Dokumen dan Penerbitan) 2009 yang baru diwartakan oleh KDN. Menurut Peguam Kanan Persekutuan, Nizam Zakaria, perintah bertarikh 21 Januari lalu berkuat kuasa serta-merta setelah ia diwartakan pada 16 Februari lalu.

Perintah tersebut berbunyi: ‘‘Percetakan, penerbitan, penjualan, pengeluaran, pengedaran dan pemilikan sebarang dokumen dan penerbitan berkaitan agama Kristian yang mengandungi perkataan ‘Allah’, ‘Kaabah’, ‘Baitullah’ dan ‘Solat’ adalah dilarang melainkan di muka hadapan dokumen dan penerbitan itu ditulis dengan perkataan “Khusus Untuk Penganut Agama Kristian’’.

Untuk makluman semua, pada tahun 2008, sebuah gereja Titular Roman Catholic Arhbishop of Kuala Lumpur telah memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi Sivil Kuala Lumpur melalui semakan kehakiman supaya pengisytiharan dibuat oleh Mahkamah untuk membatalkan keputusan Menteri Keselamatan dalam Negeri dan Kerajaan Malaysia yang melarang penggunaan kalimah Allah di dalam akhbar the Herald Weekly dan istilah/perkataan Allah adalah tidak khusus bagi agama Islam.

Antara lain, alasan permohonan mereka adalah:-

1)Penggunaan kalimah Allah di dalam penerbitan tersebut adalah penghayatan Iman Kristian (biar betull!!) dan istilah itu turut digunakan oleh umat Islam dan Kristian;

2)Perkataan Allah terdapat dalam Al-Kitab dan digunakan dalam upacara sembahyang Katholik;

3)Mereka mempunyai hak di sisi undang-undang untuk menggunakan istilah Allah yang wujud dari hak kebebasan bersuara (Fasal 10 Perlembagaan Persekutuan) dan hak kebebasan beragama (Fasal 11 Perlembagaan Persekutuan);

4) Kalimah Allah ialah istilah yang tepat untuk istilah "God" dalam Bible, dan "Lord' sebagai "Tuhan";

5) Istilah Allah bukan istilah khusus bagi agama Islam, dan selama 15 abad, umat Islam dan Kristian telah menggunakan perkataan Allah sebagai merujuk kepada "Tuhan Yang Unggul". Istilah "God" telah diterjemahkan sebagai Allah dalam istilah/perkataan agama Katholik yang pertama kali diterbitkan pada tahun 1989 oleh Majlis Uskup-Uskup Katolik Semalaysia.

Atas dasar mempertahankan agama, beberapa Majlis Agama Islam Negeri-negeri termasuk MAIS telah bertindak balas dengan memfailkan permohonan untuk mencelah di dalam kes tersebut bagi memastikan hal ehwal agama Islam dapat dipertahankan dengan sewajarnya., dan permohonan ini telah dibenarkan oleh Mahkamah. Bagaimanapun, keputusan ini telah mendapat bantahan daripada peguam gereja dengan alasan Mahkamah Tinggi Sivil tidak ada bidangkuasa untuk mendengar permohonan pihak MAIS dan MAINS. Bantahan ini masih belum dibicarakan, tiba-tiba keluar kenyataan dari KDN.

Dari sudut perundangan sivil dan Syariah, pada pandangan saya, arahan yang dikeluarkan oleh KDN ini merupakan satu perkara yang tidak wajar dan tidak selaras dengan undang-undang yang berkuatkuasa di Malaysia dan juga Hukum Syarak. Dari sudut perundangan Syariah, sebab-sebabnya adalah:-

1) Maksud Syariah yang utama adalah menjaga agama. Jika penggunaan kalimah Allah oleh pihak gereja di dalam kitab-kitab pengajaran agama Kristian terbitan gereja-gereja, kebimbangan bahawa kitab tersebut mudah dibaca oleh orang-orang Islam, mendorong mereka meninggalkan agama Islam, mencetuskan kekeliruan akidah, (Tuhan kita adalah sama?!) justeru, wajiblah kita menghalangnya. Tambahan pula, mengikut kaedah fiqh, kemudharatan hendaklah dicegah.

2) Umat Islam wajib melafazkan perakuan keimanannya secara formal, iaitu La Ilaha Illa Allah yang bermaksud " Tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah" dan Muhammadur Rasulullah, yang bermaksud " (Nabi) Muhammad itu Pesuruh Allah". Umat Islam tidak melafazkannya dengan cara-cara lain seperti " Tuhan yang saya sembah adalah Allah" atau "Allah adalah Tuhan saya". Ini menunjukkan bahawa seseorang yang beragama Islam membuat perakuan ketuhanan mereka dalam bentuk negatif, iaitu memperakukakn kewujudan satu Tuhan (Esa) yang dinamakan Allah, di atas penafian tuhan-tuhan lain. Unsur penafian tuhan-tuhan lain inilah yang menjadi tunjang konsep ketuhanan dalam Islam. Ini merupakan satu intipati tauhid (pengesaan Allah) dalam konsep ketuhanan Islam.

3) Perkataan "Allah" dan bukannya "Tuhan" digunakan oleh umat Islam untuk mengelakkan dari makna-makna lain yang tidak dikehendaki, seperti: i) Tuhan yang tidak beridentiti (fahaman pantheisme, iaitu Tuhan adalah segala-galanya dan segala-galanya adalah Tuhan!), ii)Tuhan sebagai entiti yang tidak mutlak/kabur (pandangan idealist), iii)Tuhan sebagai sifat makhluk (yang mempunyai jantina, perlu memenuhkan kehendak-kehendak biologi (makan, minum, berkelamin,) iv) Tuhan yang mempunyai kehendak sosial- berkawan, berkelompok, berpolitik, beragama, dll, v) Tuhan sebagai jelmaan, iaitu yang dijelmakan dalam bentuk objek-objek yang dapat dilihat. vi) Tuhan yang diangkat, asalnya bukan Tuhan, (seperti harta benda, kekayaan, sanjungan, kedudukan).Kesemua sifat-sifat ini tidak tulen dan bukan ciri ketuhanan yang dikehendaki.

4) Dari struktur nahu dan linguistik Arab, perkataan Allah itu secara mutlak bererti "Tuhan yang satu dan satu-satunya", adalah satu nama khas dan bukan ganti nama. Allah tidak boleh digunakan dalam bentuk atau makna-makna lain. Perkataan "Tuhan" sebagai bukan nama khas adalah "Ilah", bukan Allah. Allah ialah nama khas bagi Tuhan yang identitinya adalah keesaan. Jika kita menggunakan perkataan "Tuhan", ianya boleh diumumkan dan boleh dibanyakkan dengan menggantikan "T" besar dengan 't' kecil, memanusiakan pengertiannya seperti "godfather", "godmother", memperempuankannya dengan "goddess", atau memperkecilkannya dengan 'godling'. Kita tidak boleh memanupulasikannya dengan cara apa sekalipun dalam bahasa asalnya (Ahmad Deedat, 1981 : 33) Jelaslah dari segi linguistik perkataan "Allah" adalah lebih superior daripada apa jua perkataan dari apa jua bahasa dalam mempertahankan dan memelihara makna keesaan dan keunikan satu-satunya Tuhan yang layak disembah.

5) Ketika surah Al-Ikhlas diturunkan, ia membicarakan soal konflik, tentang siapakah sebenarnya Allah yang dituturkan oleh agama-agama lain itu. Adakah ia tepat dan benar dengan konsep 'Allah' yang digelar dan dipanggil oleh mereka? Imam Ibn Kathir menukilkan kata-kata Ikrimah tentang perihal turunnya ayat ini:

Berkata Ikrimah: " Ketika orang Yahudi mengatakan :"Kami menyembah U'zair anak Allah. Orang Nasrani menyatakan:"Kami menyembah Al-Masih anak Allah. Majusi mengatakan:"kami menyembah matahari dan bulan. Orang Musyrikin pula mengatakan:"Kami menyembah berhala". Lalu Allah swt menurunkan ke atas Rasulullah SAW surah Al-Ikhlas yang bermaksud; 'Katakanlah wahai Muhammad bahawa Allah itu Esa, Allah itu tempat bergantung segala makhluknya, Allah itu tidak beranak dan tidak diperanakkan dan Allah itu tiada bagiNya sekutu'.

Lalu, tidak mengira apa jua agama, sekiranya mereka tidak mengerti dan mengenal siapa itu Allah, makna sebenar di sebalik nama itu, maka mereka sekali-kali tidak layak untuk menggunakan kalimah tersebut sebagai merujuk kepada zatNya Yang Maha Agung.

6)Tuhan orang Islam dan orang Kristian tidak sama, kerana kepercayaan Kristian berasaskan kepada konsep Trinity , iaitu Tuhan yang Satu sebagai Tiga,(Konfiuslah! Berapa sebenarnya? Satu ke tiga?)

7)Diriwayatkan juga sebuah hadith daripada Abu Sa‘id secara marfu‘: “Bahawa Isa diserahkan oleh ibunya kepada seorang pengajar agar dapat mengajarnya menulis. Lalu si pengajar berkata kepadanya: Tulislah dengan nama Allah. Isa berkata: Tahukah kamu siapa itu Allah? Allah ialah Tuhan bagi segala yang dipertuhankan”.

Merujuk kepada undang-undang sivil, berikut adalah undang-undang yang berkaitan yang sepatutnya dirujuk oleh pihak KDN sebelum sesuatu arahan dikeluarkan.

1)Perkara 11 (4) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa undang-undang Negeri boleh mengawal dan menyekat pengembangan apa-apa iktikad atau kepercayaan ugama antara orang-orang yang menganut Ugama Islam.

2)Undang-undang mengawal perkembangan ugama lain tersebut telah diwujudkan oleh Badan Perundangan Negeri-negeri oleh kebanyakan negeri di Malaysia dan kebanyakan negeri-negeri mempunyai peruntukkan undang-undang yang sama. Di Selangor, undang-undang mengawal agama lain ini dinamakan Enakmen Ugama Bukan Islam (Kawalan dan Perkembangan Di Kalangan Orang Islam) 1988. Untuk memudahkan penulisan, saya akan merujuk kepada Enakmen Selangor.

3) Seksyen 9, Enakmen tersebut memperuntukkan bahawa:-

Seseorang adalah melakukan kesalahan jika dia-
(a) dalam apa-apa tulisan, ucapan, pernyataan awam yang diterbitkan, menggunakan mana-mana perkataan yang disenaraikan dalam Bahagian I kepada Jadual di dalam Enakmen tersebut, untuk menyatakan atau memperihalkan sesuatu fakta, kepercayaan, idea, konsep, perbuatan, aktiviti, perkara atau hal mengenai atau berkaitan dengan sesuatu agama bukan Islam.

4) Merujuk kepada Jadual I, antara perkataan-perkataan yang tidak boleh digunakan berkaitan dengan agama Islam termasuklah Allah, Rasul, Fatwa, Nabi, Syariah, Ulama dll.

Justeru, pada pandangan saya, Perintah Keselamatan Dalam Negeri (Larangan Dalam Penggunaan Perkataan Tertentu dalam Dokumen dan Penerbitan) 2009 yang baru diwartakan oleh KDN adalah ultra vires (bertentangan dengan) objektif mempertahankan agama Islam di dalam Perlembagaan Persekutuan, kerana tidak konsisten dengan peruntukan Perkara 11 (4) tersebut dan Enakmen yang diwujudkan di bawah Artikel 11(4).

Kalimah Allah bukanlah satu kalimah yang sekadar menjadi sebutan atau seruan atau panggilan bagi tuhan semata-mata. Sebaliknya ia merupakan nama yang melambangkan aqidah atau agama bagi orang yang menggunakannya. Oleh itu penggunaannya amat wajar dipantau dan dipelihara oleh kerajaan demi memastikan tiada sesiapa yang terkeliru dengan nama Yang Maha Agung itu. Justeru, keputusan kerajaan untuk mengekalkan larangan penggunaan kalimah Allah dalam penerbitan bukan Islam, sebagaimana yang telah diputuskan di dalam mesyuarat Jemaah Menteri pada 18 Oktober dan 1 November 2006 adalah amat bertepatan dan tidak boleh dipertikaikan sama sekali. Malah penggunaan kalimah Allah, Baitullah, Solat dan Kaabah telah pun diwartakan hanya eksklusif buat umat Islam sahaja di bawah Warta PU (A) 15/82 dan pekeliling KKDN. S.59/3/6/A bertarikh 5 Disember 1986.

Anyway, terfikir juga saya, dalam masa yang sama juga, ini menunjukkan 'Bible' mereka tidak original dan boleh diubah-ubah. Sekejap nak guna Jesus Christ, sekarang mahu guna kalimah Allah pula. Memang suka meng'konfiuskan' orang. Maaflah, mungkin entri ini agak panjang, tapi saya amat berharap supaya entri ini dibaca dan jika pembaca bersetuju dengan pandangan saya, minta disebarkan kepada orang lain dengan me'link'kan artikel ini dalam blog masing-masing, untuk memberi kesedaran kepada orang lain peri-pentingnya mempertahankan kalimah Allah, untuk memelihara kesucian Islam. Wallahua'lam.




Rujukan Ilmiah:
-Perlembagaan Persekutuan

-Enakmen Ugama Bukan Islam (Kawalan dan Perkembangan Di Kalangan Orang Islam) 1988.

-Dr Amriah Buang, Mengapa Kalimah Allah? Satu percubaan menjelaskan pengertian ketuhanan dalam Islam.

- Artikel bertajuk : Kalimah Allah, bukan bermakna "God Semata-mata, Cawangan Aqidah, Bahagian Penyelidikan JAKIM.

9 ulasan:

MaRdHatILLah(Fatahiyyah) berkata...

knpa sampi mcmtu sekali..takutnya..sebagai seorang muslim kt kena lebih berhati2 dalam pencarian buku2 agama..perlu teliti sangat..bukan setakat buku tapi peralatan solat cntohnya sejadah..

Azri berkata...

Salam Ustazah tulis panjang panjang pun apa lah guna nya. Kena creative sikit ..peguam syariah, JAKIM MAIS, Mufti MUfti , imam imam, pikit lah depan ofis si AL BAR tu ....ye lah anti response kita mesti ikut undang undang dan berhemah....ehmmmm

Hunny berkata...

Salam Azri,

Itu cara orang politik, macam Azri.. :D Bukan setakat berhemah, kami guna cara yang berhikmah..

Leenoh berkata...

Salam semua,

Pak Ngah sangat tertarik denga entri ini, rencana ini sekurang-kurangnya telah memberi maklumat kepada orang seperti Pak Ngah yang tiada asas undang-undang ini.
Walaupun Pak Ngah tidak pernah menulis apa-apa rencana sebelum ini, tetapi, apabila ada peluang begini Pak Ngah pergunakan untuk menyebarkan kebaikan terutamanya mengenai Islam walaupun secara tergagap-gagap bahasa dan ringan kandungannya , kata orang kalau kita tidak mampu membuat semua kita janganlah tinggalkan kesemuanya.
Kalau kita klik dari blog ke blog kita akan dapati di sana terdapat berbagai blog yang menerapkan Islam kepada masyarakat internet ini.
Nampaknya pelbagai kaedah telah digunakan, bagi mereka yang mampu menulis secara ilmiah dalam rencana yang panjang eloklah berbuat demikian.Kesempatan untuk menulis begitu panjang bukan senang diperolehi kerana kekangan tugas dan sebagainya.
Apapun kita hendaklah bertindak secara fardu kifayah, masing-masing akan memainkan peranan.
Mengenai perkembangan yang Hani tulis itu Pak Ngah rasa menuntut kita untuk bekerja lebih kuat lagi, masuk kampung dan keluar kampung serta meronda di setiap bandar dan pekan untuk menyampaikan dakwah kepada masyarakat kita.
Sekiranya orang kita faham Islam secara mendalam tentulah di sana telah ada ketahanan diri dan mampu menjaga kemasinan Islam itu sendiri dan tidak akan ditawar dan dicairkan oleh pihak lain, tegasnya kita kena lawan ilmu batil dengan ilmu yang benar kerana undang-un dang tidak lagi menyebelahi kita tentang perkara tersebut.
Wassalam

..nOWa.. berkata...

KDN telah umum bahawa pewartaan itu salah dan akan diperbetulkan..apa daa..alasan sempoi bagi satu kesilapan kecil yg membawa impak yang besar..

Tanpa Nama berkata...

To Pak Ngah,

Saya ambil masa 3 jam untuk siapkan entri ni. Alhamdulillah, ada yang membacanya. Mudah-mudahan artikel ringkas ini dapat dipanjangkan pada kenalan lain. Siapa yang nak pertahankan agama, kalau bukan orang Islam sendiri. Insyaallah, Allah bersama kita..

Hunny berkata...

To Nowa,

Betullah kata pepatah, kerana nila setitik, rosak susu sebelanga..Kerana silap sedikit, rosak agama. Mudah-mudahan kita tak ambil mudah dengan agama Islam.

Tanpa Nama berkata...

Assalamualaikum Puan,

Saya mohon izin untuk copy tulisan ini dan edarkan kepada kawan2, mungkin dalam bentuk presentation yang sedikit berlainan (powerpoint etc), tetapi mengekalkan keaslian penulisan. Saya akan 'quote' blog ini @ sumber.

Terima kasih & Jazakillah.

Mie.

Hunny berkata...

Waalaikumsalam Mie,

Dialu2kan. Sebarkan seluas termampu. Mudah-mudahan Allah merahmatimu.