Hari ini, pada sebelah pagi saya menghadiri Mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah PUSRAWI SMC Sdn Bhd di Wisma Kosas, Kelana Jaya. Mesyuarat bermula pada jam 9 pagi dan berakhir pada jam 12 tengahari. Dato' Aini mempengerusikan mesyuarat. En Johar, CEO Hospital KPJ SMC (dulu GM Hospital SMC Shah Alam) turut hadir bersama Encik Amirudin, dari KPJ. Saya dan Puan Norraini hadir sebagai pengarah ganti bagi MAIS. Saya dan Puan Norraini telah dilantik sebagai Pengarah Ganti di dalam Lembaga Pengarah Hospital ini sejak tahun 2005 lagi. Alhamdulillah, walaupun saya tidak begitu berpengalaman menguruskan perkhidmatan hospital dan bidang kesihatan, namun sedikit sebanyak, apabila menjadi pengarah ganti, saya telah didedahkan dengan cara-cara pengurusan hospital dan perkara-perkara yang perlu dilaksanakan. Walaupun peranan saya di dalam pengurusan hospital PUSRAWI ini nampak kecil, namun pengalaman di dalamnya menjadikan ianya terlalu berharga pada diri saya.
Usai mesyuarat, saya dan Puan Norraini terus pulang ke pejabat. Semasa datang ke sini, kami meminta pemandu menghantar kami. Semasa pulang kami menumpang kereta En Johar. Kerana agak lama juga kami tak berjumpa dengan En Johar, jadi sepanjang perjalanan, banyak yang kami bualkan. Lebih kurang jam 12.15, kami sampai ke pejabat. Sedang kami menjenguk-jenguk di Bilik BPK di tingkat G Bangunan JAIS, Kak Nomi berkata,
"Eh Hani! Ada derma darah la.. Jom kita derma!" ajaknya.
"Ermm.. bagus jugak..bolehla kak," jawab saya tanpa berlengah-lengah.
Kami terus masuk ke dalam, mengisi borang dan menimbang berat badan. Kemudian darah saya diambil.
"Blood Type : A"
Kemudian, saya diminta berjumpa dengan doktor.
"Ada asma? Batuk? Demam? Ambil aspirin?" tanya doktor tu.
"Ermm.. sumer tak ada. Alhamdulillah. Saya memang betul-betul sihat doktor," kata saya kepada doktor perempuan berbangsa India. Saat itu, saya betul-betul bersyukur kepada Allah, kerana saya diberi nikmat kesihatan olehNya. Kemudian, doktor India tersebut memeriksa tekanan darah saya.
"Ok ke Doktor blood pressure saya? " tanya saya ingin tahu.
"Ok," jawabnya sambil tersenyum.
Kemudian saya diminta menandatangani pengesahan untuk menderma, sebelum diberi perakuan derma darah. Akhirnya, saya diminta duduk di kerusi. Sebelum itu, saya nampak Nora dan Shikin, dua-duanya kakitangan MAIS, datang untuk menderma darah.
"Ermm.. boleh tak saya nak derma darah tangan kiri? Sebab saya driving," kata saya selepas mendapati kerusi yang saya duduki mempunyai lengan di sebelah kanan.
"Boleh," kata petugas yang mengendalikan proses derma darah saya. Saya terlupa namanya. Cuma yang saya ingat, beliau memang cekap mengendalikan tugasan yang diberi. Langsung tak terasa sakit lengan saya dicucuk. Macam kena gigit semut jer..
"Terrorlah u buat dik. Tak sakit pun," puji saya.
"Mestilah. Dah berapa lama dia buat kerja tu. Mestilah cekap," kata seorang atendan hospital lelaki.
Sambil menunggu paket darah saya penuh, saya bersembang dengan beberapa kakitangan JAIS yang turut menderma darah. Kebanyakannya wanita. Sempat saya bersembang dengan seorang staff wanita JAIS. Katanya, orang lelaki memang takut nak derma darah, sebab dia tak pernah rasa sakit bersalin. Berbeza dengan wanita, sebab pernah bersalin, derma darah ni tak rasa apa pun.. katanya. Mungkin sebab tu ramai penderma darah dari kalangan wanita.
"Betul ke derma darah ni boleh naikkan berat badan kita encik?" tanya saya pada pegawai hospital yang bertugas.
"Tak adalah. Itu mitos ajer," jawabnya.
Selepas beberapa ketika, paket darah saya telah penuh. Saya diminta berehat dan minum MILO dahulu. Habis saja proses derma darah, jam dah pukul 1. Rehat. saya dan Kak Nomi menghabiskan waktu rehat dengan bersiar-siar di sekitar Shah Alam.
Jam 2 petang, saya dah berada di pejabat menyiapkan beberapa perkara. Seorang pegawai MAIS, Atikah bertanya saya,
"Kak, kalau kita derma darah, kira dapat pahala ke?"
"Kalau kita memberi dengan ikhlas, apa-apa pun, tanpa mengharap balasan, itukan satu kebaikan. Allah dah janji, setiap satu kebaikan yang kita buat, Allah akan balas dengan 10 kebaikan. Derma darah pun kebaikan, tentu ada ganjarannya," jawab saya sambil tersenyum.
"Ha ah yer," jawab Atikah.
"Yang penting, kita ikhlas," sambung saya.
Kira-kira jam 3 petang, saya bergerak ke De Palma Shah Alam untuk sesi bengkel Garis Panduan Pengurusan Rumah Kebajikan MAIS. Saya membawa kereta sendiri, kerana Bengkel habis pada jam 5 petang. Saya sepatutnya menjadi moderator untuk bengkel ini, tetapi kerana menghadiri mesyuarat di sebelah pagi, saya terpaksa menolak. Banyak perkara-perkara yang dibangkitkan di dalam bengkel ini. Seperti dijangkakan, jam 5 petang, bengkel ditangguhkan ke esok hari.
Apapun, saya bersyukur kerana masih diberi peluang untuk memberi, daripada menerima. Hari ini saya menderma darah saya, kerana Allah memberi peluang kepada saya untuk memberi. Mana tahu, satu hari nanti, saya pulak yang terpaksa menerima bantuan daripada orang lain., kerana Allah takdirkan saya untuk menerima. Apapun, pada saya, tangan yang memberi, lebih baik dari yang menerima. Berilah bila diberi peluang untuk memberi. Berilah setakat termampu. Mungkin waktu ini kita berada di atas. Tak mustahil satu hari nanti kita berada di bawah. Mudah-mudahan Allah memberikan kita ruang waktu yang cukup untuk membuat sebanyak-banyak kebajikan di dunia, sebagai bekalan di akhirat. Amin.
"Berlumba-lumbalah dalam membuat kebajikan"
Nurhani
Shah Alam
Nurse ni memang expert wat tugasan ni. Tak rasa sakit langsung. Dan tak bengkak. Tahniah pada dia. Hidup staff HTAR!
Shikin, 1st time derma darah, memang tak nak tengok jarum tu cucuk kat lengan dia.. hehehe.. Apapun, bravo Ikin, sebab berani mencuba!!
Abang ni, satu-satunya peserta lelaki yang sudi nak derma darah. Mamat baju hitam kat belakang tu, dia tak derma. Alasannya, tak cukup 5 jam tidur.. ehehehe..
Tiada ulasan:
Catat Ulasan