Pulang dari Bengkel di Hotel Quality, tiba-tiba rasa hati meronta-ronta nak balik kampung. Mana taknya, dah tiga minggu saya tak pulang ke kampung. Kebiasaannya, tiap-tiap minggu saya akan pulang. Saya mengemas kain baju yang perlu termasuk hadiah-hadiah dari Surabaya untuk mak, abah dan adik-beradik yang lain. Sempat juga saya mengupdate status di dalam facebook saya sementara menunggu adik lelaki saya memulangkan kereta saya yang dipinjam untuk mengambil adik perempuan saya yang tamat semester pengajian di UTM Johor.
Sebelum pulang, saya dikunjungi oleh Liza, teman baik semasa mengambil pengajian Master LLM di UIA. Semenjak semalam beliau menghubungi saya untuk bertemu, tetapi disebabkan saya sibuk dengan program penyelidikan, saya tak sempat bertemu beliau. Oleh kerana Liza belum makan tengahari, saya menemani Liza ke medan selera di Seksyen 2 Shah Alam. Medan selera ini terkenal dengan ABC Coklatnya yang sedap. Macam ABC biasa jugak, cuma ditambah coklat dan ice cream. Rasanya? Memang sedap! Harganya RM3. Saya memesan 5 bungkus ABC dari kedai ABC Fradoo. Hari ini orang agak ramai. Budak ABC tu pun Nampak struggle nak sediakan tempahan ABC yang banyak. Sebab minat sangat dengan ABC Fradoo ni, saya meminta nombor handphone owner kedai tersebut supaya lebih mudah nak berurusan. Biasanya, saya akan menghubunginya dulu, dan datang kemudian untuk mengambil dan membayar. Tetapi hari ni, tak plan pun nak beli, jadi terpaksalah tunggu order siap.
Saya tak makan, sebab dah makan di Hotel sebelum check out. Selesai makan, saya menghantar Liza ke Kompleks PKNS dan meneruskan perjalanan pulang. Sebelum itu, sempat saya memaklumkan kepada pegawai di Bahagian saya,saya akan bercuti esok. Sepanjang perjalanan pulang, saya memasang radio. Terasa semakin tension bila kebanyakan lagu yang saya dengar semuanya mengenai kekecewaan dalam percintaan. Akhirnya saya mematikan radio, membaca surah al-fatihah sebanyak-banyaknya dan menyedekahkan bacaan saya kepada orang-orang yang saya kenang. Doa saya, semoga Allah menghidayahkan saya dan semua yang saya sayangi jalan yang lurus dan diredhai.
Saya membawa kereta agak laju, sebab nak mengelakkan ABC yang saya bawa cair. Tapi, kalau tak bawak ABC pun, memang saya suka bawak keta laju. Rasa lebih tenang dan konfiden semacam. Hilang sekejap problem sebab bila kita bawak kenderaan dengan laju, kita perlu lebih berhati-hati dan menumpukan sepenuh perhatian kepada pemanduan kita. Nasib baik kereta saya tak selaju mana pun. Cuma 1.5cc ajer.. jadi tak ada lah laju sangat..
Tiba-tiba handphone saya berdering;
“MAK”.
Saya mengangkat telefon. “Assalamualaikum mak,”ucap saya.
“Waalaikum salam. Dah sampai mana?” Tanya emak.
“Dah sampai Berjuntai Bestari mak,” jawab saya. “Kenapa mak? Ada nak kirim apa-apa ker?” Tanya saya lagi.
Tak lah. Ngko dah makan ker? Nasik tak tau la ada ke tak.. “ jawab mak.
“Tak apa mak. Tadi dah makan.Kenyang lagi. Nanti jumpa kat umah yerr. Assalamualaikum,” kata saya.
Saya mematikan panggilan dan meneruskan pemanduan. Mengingatkan emak, tiba-tiba hati saya terasa sayu. Emak sentiasa ingat pada anak-anak, dan sentiasa pastikan anak-anaknya dapat makan. Kalau kami masih kecil lagi, ok juga. Ni kami dah besar-besar ni pun, masih juga ditanya dah makan ke belum. Saya rasa betul-betul bersyukur dapat emak macam mak. Mak pernah kata “belum rezeki saya untuk bertemu jodoh”. Betul-betul bertambah kesyukuran yang saya panjatkan. Emak tak pernah nak pressure saya suruh kawin cepat, walau dia pernah juga bertanya sama ada saya dah ada teman istimewa ke belum. Kalau emak orang lain agaknya dah pening kepala sebab anak daranya usia makin meningkat, tapi belum bertemu jodoh. Malah emak menggalakkan saya belajar hingga ke peringkat PhD.
Sering emak bertanya bila saya nak sambung pengajian PhD saya. Insyaallah mak. Akan ku pastikan cita-citaku dan hasratmu tercapai. Doakan yang terbaik untuk anakmu ini. Mungkin jodohku belum pasti, tetapi ajalku sudah pasti. Dan sebelum ajalku tiba,aku ingin belajar dan terus menimba ilmu Allah, selagi diizin Allah. Untuk apa? Untuk ku manfaatkan dan kongsikan agar dapat menjadi bekalku di akhirat. Kenapa? Kerana aku yakin dengan kata-kata Kekasihmu Muhammad SAW, tiga perkara akan dibawa sebagai bekal ke akhirat iaitu,ilmu yang bermanfaat, anak soleh yang mendoakan dan sedekah jariah yang berkekalan. Harta? Aku tak punya harta yang banyak untuk ku sedekahkan. Hanya doa dan kasih sayang yang tak ternilai untuk semua orang yang mengasihi aku. Cuma, alhamdulillah.. aku sangat -sangat bersyukur, walaupun tak berharta, aku tak meminta-minta, dan sedikit harta yang ku perolehi, insyaallah, ada bahagiannya untuk wakaf dan zakat. Anak? Bagaimana mau punya anak, sedangkan ayahnya belum ku jumpa? Hehehe.. jadi, bagaimana mau ku peroleh doa anak yang soleh untukku, bila ajalku tiba nanti?
Lalu, apa yang aku mampu tambah sebagai bekalan akhiratku adalah ilmu yang aku pelajari dan manfaatkan. Mudah-mudahan Allah mempermudahkan pencarian ilmuku. Doa emak dan abah sentiasa mengiringiku.. Mudah-mudahan aku berjaya.. :) Amin..
Emak dan cucu-cucunya.. Tak ternilai jasa emak pada aku dan kami semua.. Semoga Allah mengampuni emak dan membalas jasa mak dan kasih sayangnya pada kami yang tak mengharap balasan.. Amin..
“I luv my family”
Nurhani
Shah Alam
2 ulasan:
saya sayang emak saya juga..lebih2 lagi saya cuma ada dia saja sekarang..all the best for you, sis!
Salam Nowa,
All the best to you too.. jawab exam betul2 yerrr... :)
Catat Ulasan