MONOLOG
Aku memandu kereta selaju-lajunya menuju ke KLIA. Kata-katanya masih terngiang-ngiang di telinga aku.
“Dia dah hilang. Aku tak tau nak carik mana. Ko kena tolong aku. Kau yang mulakan, kenalah kau selesaikan. Aku blank ni, tak tau nak buat apa,” suaranya penuh kebimbangan. Bimbang sahabatku akan melakukan sesuatu perkara di luar jangka.
Sungguh! Aku tak menyangka perkara sebegini akan terjadi. Petang tadi aku bertemunya, atas permintaannya. Aku berbual mesra dengannya, mendengar kisah hidupnya dan cerita cintanya. Cintanya yang menjadikan dirinya cekal dan tabah mengharungi segalanya bersama kekasih hati. Aku turut berkongsi sedikit cerita cintaku dengannya. Wajah mulusnya ku tatap. Sukar untukku fahami hatinya kala itu, walau ku yakin dan pasti, cintanya masih utuh pada kekasihnya. Terkadang wajahnya tersenyum bahagia, terkadang air matanya menitis, mengenangkan kisah silam, ombak dan badai yang hadir, dalam cintanya. Aku fahami hatinya yang terluka. Saat aku menunaikan solat Zohor, aku terdengar esakan kecilnya semakin kuat. Hati aku tak keruan. Namun aku lega bila akhirnya, wajah itu tampak semakin tenang. Lewat petang itu, sebelum kami pamitan, janjiku padanya, aku tak akan teruskan. Janjinya padaku, insyaallah kami akan bertemu lagi di lain masa, bersama kekasih hatinya.
Namun, panggilan telefon usai solat Maghrib itu benar-benar menyebabkan jantungku tersentap.
Haaaa??? Hilang???
Aku khali sejenak. Ya Allah! Ujian apakah ini? Aku menadah tangan dan solat Maghribku aku akhiri dengan doa, “Ya Allah! Hidayahkanlah aku dan sahabat-sahabatku jalan yang lurus dan Kau redhai...” Aku mencapai kunci kereta dan bergegas ke KLIA. Sempat aku memberitahu teman serumahku, aku perlu membantu sahabatku. Sebelum keluar, sempat aku mengerling jam di dinding yang menunjukkan jam 8 malam. Aku singgah sebentar untuk mengisi minyak dan membeli roti untuk mengalas perut kerana terlalu lapar. Sepanjang hari aku tidak makan kerana menemaninya dan mendengar ceritanya.
Mujur kenderaan di lebuhraya tak banyak. Sepanjang memandu ke sana, aku tak putus-putus membaca surah al-fatihah dan aku sedekahkan kepada sahabatku. Doaku, dia tak melakukan perkara yang di luar dugaan. Ya Allah! Ujian apa yang sedang kau beri pada kami? Hatiku terus sebak mengenangkan pertemuan kami petang tadi.
Suasana di KLIA nampak muram, semuram hati aku. Aku bertemu dengan sahabat yang menghubungiku. Wajahnya sugul dan penuh kebimbangan.
“Cuba cari dia di Surau” katanya lemah. Dia terus melangkah pergi.
Aku betul-betul tak tahu nak mula dari mana. KLIA bukannya kecil. Aku hanya mengharapkan semoga Allah memberiku petunjuk dalam pencarianku. “Ihdinassirotolmustaqim” doaku berulang-ulang dalam hati.
Aku masuk ke lif. Aku memerhatikan butang-butang di dalam lif. Harus ke mana aku? Tingkat berapa? Bagaikan ada sesuatu yang menyebabkan aku menekan butang tingkat 5. DEPARTURES. Aku terus menuju ke surau di Tingkat 5. Pencarianku hampa. Ada beberapa muslimah sedang solat Isyak, tetapi dia yang ku cari tiada. Aku bungkam. Allah! Mana harusku cari, di tempat luas sebegini?
Aku teragak-agak untuk meneruskan pencarian atau solat Isyak dulu. Akhirnya, aku mengambil wudhuk, dan solat Isyak. Kemudian, aku solat hajat dua rakaat memohon supaya Allah mempermudahkan pencarianku. Aku berdoa,
” Ya Allah! Ampunkan aku, ampunkan dia dan ampunkan sahabatku. Beriku petunjukMu, Allah. Bantulah aku. Aku mesti mendapatkannya, untuk kebaikan semua.”
Air mata yang ku tahan sejak petang tadi akhirnya gugur jua.
Aku keluar dan menuju ke pondok polis di Tingkat 5. Aku memaklumkan kepada pegawai polis yang bertugas mengenai sahabatku. Aku meminta pertolongan mereka untuk menjejaki sahabatku itu.
“Tempat terakhirnya di Surau Tingkat 3. Dia pakai baju biru dan tudung biru,” aku menjelaskan kepada pegawai polis yang bertugas. Aku lihat pegawai itu terus menelefon seseorang.
“Ini ada kes kehilangan. Boleh check CCTV di Surau Tingkat 3. Perempuan, baju biru, tudung biru,” katanya.
Aku menunggu dengan penuh harapan. “Ya Allah! Harap-harap ada lah”... doaku dalam hati.
Tak lama kemudian, telefon di kaunter berbunyi,
“Ya, ok. Terima kasih.” Pegawai polis itu meletakkan gagang dan memaklumkan bahawa sahabat aku tidak dapat dikesan oleh CCTV tingkat 3. Aku mengucapkan terima kasih kepada pegawai polis tersebut. Kecewa sungguh hatiku bila jawapan itu yang aku dengar. Langsung aku melangkah keluar dari pondok polis tersebut. Aku mencari-cari di sepanjang jalan, kiri dan kanan. Tandas dan tempat-tempat makan. Tapi hampa.
Tiba-tiba, aku ternampak seseorang sepertinya lebih kurang 200 meter di hadapanku. Betul ke dia? Aku mengamatinya dan sah! Memang dia! Allahuakbar! Rasa macam tak percaya. Tapi memang betul dia! Aku cepat-cepat menghubungi sahabatku memberitahu berita gembira tersebut. Sambil itu, aku terus mengekorinya. Dia berjalan keluar menuju ke arah passenger pick up, seperti menunggu seseorang.
“Nisak!” Aku memanggil namanya, saat aku betul-betul hampir dengannya. Dia memusingkan badannya dan memalingkan wajahnya ke arahku. Matanya bengkak kerana terlalu banyak menangis. Wajahnya penuh kesedihan. Jiwanya nampak kosong. Hatiku bagai disiat-siat. Jiwaku diruntun sayu. Aku memeluknya erat.
“Nisak. Kenapa kau buat macam ni? Kenapa? Tadi kan kau janji nak jumpa aku lagi? Kau nak ke mana ni? Kenapa kau nak pergi? Kau tak ingat ke anak-anak kau? Keluarga kau? Permata hati kau?” Air mata aku mengalir deras. Tak sanggup nak melihat wajahnya. Hatinya benar-benar terluka.
“Biarkan aku pergi. Kau jangan ikut aku. Dia tak sayang aku lagi. Dia tinggalkan aku,” ucapnya dalam sedu-sedan dan esakan.
“Nisak. Dia sayangkan kau. Dia tak pernah tinggalkan kau. Dia risau pasal kau. Dia cari kau tadi. Ingat anak-anak kau Nisak. Mereka perlukan kau,” ucapku tertahan-tahan dengan esak tangisku.
“Sudah.. jangan ikut aku. Aku nak pergi. Aku nak pergi. Lepaskan aku. Lepaskan aku,” katanya tenggelam timbul dengan esak tangisnya.
“Aku tak akan lepaskan Nisak. Tak akan. Kalau aku lepaskan, aku akan menyesal selama-lamanya,” ujarku dalam sedu-sedan sambil memperkemas pelukan dan pegangan tanganku.
Saat dia cuba melepaskan diri daripadaku, tiba-tiba telefon bimbitnya berbunyi,
“Kau kat ner?”tanyanya pada seseorang. “Takpe.. Aku ke sana. Kau tunggu” katanya sambil melangkah pergi.
“Kau nak ke mana Nisak?” tanyaku bertalu-talu. Air mataku makin deras.
“Dah la. Lepaskan aku. Jangan ikut aku Ni, aku nak pergi jauh,” katanya teresak-esak.
“Tak boleh Nisak. Tak boleh.. Aku tak boleh lepaskan kau. Tak boleh,” kataku.
Nisak menuju ke lif dan menekan butang 3. ARRIVAL. Aku masih memegang tangannya. Tak mahu lepas. Dia minta dilepaskan, tapi aku tak mahu lepaskan. Sampai di Tingkat 3, tiba-tiba dia merentap kuat tanganku dan berlari, cuba melepaskan diri.
“Nisak!” jeritku. Ya Allah! Dia terlepas! Aku cuba mengejarnya tetapi tak berdaya. Kakiku dah penat mencarinya di sekitar kawasan KLIA. Allah! Bantulah hambaMu ini Allah!! Dan sesungguhnya Allah Maha Kuasa. BantuanNya tiba juga. Tiba-tiba muncul seorang insan berjubah putih di hadapanku, berlari mendapatkan Nisak. Rupa-rupanya ada seorang sahabatku yang lain yang berada di kawasan tersebut telah ternampak akan Nisak dan menerpa mendapatkannya. Nisak meronta-ronta cuba melepaskan diri. Aku terus memegangnya. Nisak! Hati kecilku menjerit. Kekesalan melanda jiwaku. Andai ku tahu ini akan terjadi, tak mungkin ku ceritakan kebenaran padamu, wahai sahabat. Andai ku tahu ianya melukai hatimu, biar ku kuburkan saja kebenaran itu dalam liang kekecewaanku. Alangkah baiknya andai Allah izin kita kembali ke saat itu.... Tapi mana mungkin...:(
Ya Allah..Sesungguhnya kebenaran itu memang pahit untuk aku dan dia terima.. Memang pahit.. Mungkin sebab itu, ada pihak yang memilih untuk menyembunyikan kebenaran.. Bimbang lebih teruk kesannya.. Bimbang lebih banyak hati yang terluka.. Ya Allah.. Besarnya dugaan ini kau pada kami Ya Allah.. Namun, aku redha atas segala ujianMu Ya Allah. Aku redha.."Mengharap Redha Ilahi"
Nurhani
Shah Alam
11 ulasan:
kisah benar ker cerpen nih...?????
Salam Ana,
Boleh ke kak hani menulis cerpen :D
macam berbakat jer menulis cerpen..hihiiii..ada sambungan tak? sambung la sambung la sambung laaa
Nowa,
Tak tau nak sambung macam mana...
salam kak..
tahniah kerna cuba membantu masalah orang lain.
insyallah tinggi balasannya nanti..
kak............
macam cerpen pun ade kak..
ngeee~
Salam Hani.
Nampaknya watak "Aku" sangat luas peranannya, mungkinkah aku seorang Penyiasat Persendirian,Anggota Penyelamat & Bomba, Anggota Polis atau hanya rakan yang bertanggungjawab.
Nanti nak baca sekali lagi...he3.
Salam Aliff,
Amin.. Moga Allah beri kak hani kekuatan dan ketabahan untuk terus membantu orang yang memerlukan..
cerpen? Insyaallah.. akan ku bukukan.. :D
Pak Ngah,
Aku adalah 'aku'.. ehehehehe..:D
best la cerite nie mcm benar2 terjadi je..
semoga Allah tabahkan sy,kamu dan mereka semua
amin..:)
Salam Tanpa Nama,
Amin...Amin.. Amin..
Catat Ulasan